Tawaran menjadi mufti Haji_Yusuf_bin_Abdul_Rahman

Setelah sepuluh tahun belajar dengan sungguh-sungguh, walaupun terpaksa menempuh bermacam-macam kesulitan, perasaan dan peristiwa dengan berkat sabar dan Tabah hati itu beliau telah berjaya menjadi seorang Ulama’. Setelah kembali ke Sungai Pinang beliau telah membuka Pondok dalam kawasan rumah Dato’ Menteri Che Hasan bin Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Haji Abdul Malek. Beliau mengajar bermacam-macam kitab. Di antara kitab-kitab yang beliau ajar ialah Furu’ al-Masa’il, Kashf al-Litham, ‘Aqidah al-Najid, Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada,Fath al-Muin dan lain-lain. Kelebihannya dalam ilmu fiqh dan tauhid. Di antara murid-muridnya di sini ialah Haji Ali Pulau Pisang, Syaikh ‘Uthman Jalaludin Penanti dan lain-lain.

Setelah Mufti Haji Wan Musa meletakkan jawatannya pada tahun 1916 M, Dato’ Menteri meminta beliau memegang jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi beliau menolak tawaran itu; namun demikian beliau masih berhubung rapat dengan Menteri tersebut. Oleh hal yang demikian maka jawatan itu diberi kepada Haji wan Muhammad, abang kepada Mufti Haji Wan Musa. Tidak lama kemudian Haji Yusof berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, di mana pada masa itu tidak ada penghuninya, Cuma rumput-rumput yang panjang. Haji Yusof mempunyai hasrat supaya kawasan itu menjadi kawasan yang maju kerana selepas berpindah ke situ, ramailah orang-orang yang datang membuka pondok. Rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang telah mula menjadi bising dengan suara manusia membaca kitab suci al’Quran. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Jepun. Pelajar-pelajar yang datang ke situ dari Patani, Tabal dan terdapat juga dari luar Negeri Kelantan. Pondok dan pengajarannya makin kemuncak setelah Tuan Guru Haji Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan kedua-duanya mengajar berganti-ganti.Walaupun beliau tinggal di Pulau Ubi tetapi Dato’ Menteri masih menghormatinya. Beliau diberi sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan perkampungannya. Perhubungan kedua-duanya sentiasa teguh.

Berkaitan